Pertempuran Masih Berlaku

20 05 2008

Pada awal pagi 9hb April 2008, berita kejayaan Pakatan Rakyat (PR) menawan lima negeri (Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan) telah mengejutkan semua pihak termasuk juga para pejuang reformasi / parti.

Walaupun tewas dalam pertempuran di Tg Karang, namun PR memenangi ‘peperangan’ dengan kejayaan memerintah Negeri Selangor. Untuk seketika para pejuang reformasi berasa lega setelah hampir 10 tahun berkorban (harta, tenaga dan masa) demi perjuangan untuk menegakkan kebenaran.

Semua pengalaman pahit lesap dari ingatan. Malah tiada langsung perasaan dendam terhadap musuh-musuh politik yang pernah secara konsisten melakukan pelbagai penghinaan, pengaiban dan penganiayaan yang ada kalanya diluar peradaban manusia. Semua bersiap sedia untuk bersama-sama Barisan Kepimpinan melaksanakan kewajipan pemerintahan (di peringkat bahagian) yang berhemah, adil dan saksama selaras dengan apa yang diperjuangkan selama ini.

Pada mesyuarat bahagian yang pertama selepas PRU12, Tn. Hj Abdul Kudus Hj Omar (Ketua Bahagian Tg Karang) menegaskan kepada semua bahawa kemenangan PR di Selangor bukanlah kerana para pengundi menerima ideologi parti-parti dalam PR tetapi sebahagian besarnya adalah kerana mereka mahukan perubahan. Oleh kerana itu, kita selaku wakil pemerintah perlu peka dengan keperluan mereka untuk perubahan dan bekerja dengan lebih keras dalam memastikan mereka akan terus menerima kita.

Kini pemerintahan PR menghampiri 100 hari. Namun setakat ini rakyat tempatan masih belum dapat nampak sebarang perubahan ketara. Konco-konco regim lama masih bebas melakukan penyelewengan malah ada yang mendabik dada dan mencabar keupayaan kita untuk menggugat kedudukan mereka.

Setakat ini, para pejuang reformasi dan ahli-ahli parti diperingkat bahagian masih mampu bersabar dalam menghadapi ‘tekanan-tekanan’ yang tidak sepatutnya wujud di kalangan mereka yang berada di kumpulan yang menang.

Walau apa pun, para pejuang parti di akar umbi berharap pihak kepimpinan di SUK tidak seharusnya take things for granted dan berterusan menyarankan mereka untuk hanya ‘buat aje apa yang terbaik’.

-Wak Hassan

Advertisements

Actions

Information




%d bloggers like this: