Tun Mahathir keluar parti, Umno Sudah Tidak Relevan

20 05 2008

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpendirian bahawa pengumuman Tun Mahathir Mohamad keluar daripada Umno adalah bertitik tolak daripada pelbagai konflik yang berlaku di dalam parti berkenaan. AMK tidak terkejut dengan pengumuman Tun Mahathir, memandangkan sebelum ini tiga Presiden Umno terdahulu (Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, dan Tun Hussien Onn) juga tidak berdiri sebagai ahli Umno di saat mereka menghembuskan nafas yang terakhir.

Ulasan ringkas Tun Mahathir bahawa beliau akan berada di luar Umno sehingga kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi ditukar ganti adalah satu kenyataan yang menggambarkan bahawa Umno sudah tidak relevan lagi masa kini.

AMK komited dengan pendirian bahawa Tun Mahathir bertanggungjawab dengan segala bentuk cacamarba yang berlaku dalam konteks politik dan perundangan yang berlaku di Malaysia semenjak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan seawal tahun 1980-an. Ini diperhebatkan lagi dengan sifat ‘duduk dan diam’ Abdullah yang memandang ringan ‘kekotoran’ yang diamanahkan kepada beliau sepanjang beliau memerintah Malaysia dari tahun 2004.

Kekalutan yang melanda Umno seusai Pilihanraya Umum Ke-12 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti dua pertiga Umno dan Barisan Nasional  memberi gambaran bahawa hayat Umno dan politik perkauman sudah sampai ke penghujungnya.

AMK dengan tegas menyatakan bahawa apa yang berlaku ini adalah masalah dalaman Umno, tetapi AMK percaya bahawa biar sehebat mana perubahan kepimpinan dilakukan di dalam Umno, ia tidak akan meredakan amarah rakyat yang sekian lama dizalimi dengan politik sempit naungan Umno/BN.

Kini tiba masanya kita menjunjung Ketuanan Rakyat demi merealisasikan Harapan Baru buat segenap lapisan rakyat Malaysia.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Advertisements

Actions

Information




%d bloggers like this: