Selangor Baharu 22 Jun

21 05 2008

Selangor Baharu 22 Jun
Dilulus terbit pada Wednesday, May 21 @ 09:35:39 MYT oleh SongkokPutih
Artikel Oleh Dr. Sulaiman Masri

 Tidak dinafikan, banyak pihak, terutama media cetak dan elektronik milik Barisan Nasional, terus memperkatakan gaya dan keberkesanan pentadbiran@ pengurusan Negeri Selangor sekarang.

Sesungguhnya, tahap kecekapan dan keberkesanan, mahupun kegagalan kepemimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, yang diterajui YAB Tan Sri Dto’ Abdul Khalid bin Ibrahim, sesuai diperhati, dinilai dan diulas dengan adil dalam tempoh berikut:

– 100 hari mulai 10 Mac 2008 (pada 21 Jun 2008)
– 365 hari pada 12 Mac 2009
– dua tahun pada 13 Mac 2010
– tiga tahun setengah pada Julai 2011

Dalam tempoh tersebut, adakah manifesto dalam PRU-12 ditunaikan? Adakah pentadbiran dan pengurusan negeri berjalan dengan lebih cekap… lebih adil…lebih terbuka; hasil negeri menjadi lebih; pelaburan asing makin banyak?

Adakah pembahagian kekayaaan semakin merata; rakyat semakin sejahtera; kadar pengangguran hampir sifar; pengaruh Umno makin lenyap? Atau, sebaliknya?

Negeri Selangor, berkeluasan lebih 791 ribu hektar, berpenduduk lebih lima juta orang, menurut anggaran 2008, meliputi sembilan daerah pentabiran.

Dua daerah “terkaya” dan dikuasai PR, berpenduduk lebih sejuta orang, iaitu Petaling (keluasan 48,432 hektar; 1, 452.900 orang), dan Hulu Langat (keluasan 82,620; 1, 060.200 orang).

Sebaliknya, daerah Sabak Bernam yang kaya dengan sumber pertanian, berkeluasan 99,714 hektar, berpenduduk kurang 140 ribu orang, kini masih dikuasai Umno/BN. Insya-Allah, dalam PRU-13, dikuasai PR.

Pentadbiran Negeri yang diterajui Tan Sri Khalid, berpusat di Tingkat 21 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz@Bangunan SUK, Shah Alam.

Pentadbiran Tan Sri Khalid dikritik, dirisik dan dikomen terang-terangan, malah dicemburui oleh mantan MB, Dr. Mohd Khir Toyo dan konco@geng Umno, sejurus selepas Tan Sri Khalid menerima watikah jawatan Dato’ Menteri Besar (MB) Selangor daripada DYMM Sultan pada 13 Mac 2008.

Kalangan pengundi, penyokong Pakatan Rakyat, dan rakyat pendukung PKR, khususnya, pula mahu melihat perubahan yang dijanjikan semasa kempen PRU-12.

Menurut Haji Mohd Yahya Sahri, pegawai khas Tan Sri Khalid, lebih 20 item dalam manifesto PR bakal dinikmati rakyat Selangor, menjelang 2012. Yakni, secara berperingkat!

Menurut Tan Sri Khalid selaku MB, mulai Jun ini, rakyat Selangor mendapat air bersih percuma bagi kegunaan sehingga 20 meter padu setiap bulan, bersamaan RM11.40.

Para pelajar yang mendapat tempat belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta, bakal menerima bantuan khas sehingga RM1000.

“Bagaimana pula dengan pertukaran ketua-ketua jabatan dan bo-bos syarikat milik kerajaan negeri, yang “diragui” tindak tanduk mereka, atau kini masih “memihak” kepada Dr. Khir Toyo dan geng Umno?” Tanya penyokong, petugas, pemerhati @peminat PR.

Dr. Khir Toyo menerusi blog sendiri, dan Senator Tan Sri Muhamad Taib, menerusi media arus perdana, terus berusaha meneropong, mengkritik dan ‘mengambil berat’ terhadap pentadbiran negeri Selangor yang diterajui Tan Sri Khalid@PKR.

“Bila lagi Tan Sri Khalid nak bertindak, tukar itu, ubah ini, buat itu…Mengapa lambat sangat?” Tanya penyokong, petugas, pemerhati@peminat PR.

Mungkin selepas 100 hari pertama. Tunggu tarikh 22 Jun 2008. Era Selangor baharu, mesti dimulakan. Kita yakin, Tan Sri Khalid (dan barisan kepemimpinan PR) tentu sudah sedia dengan senarai pelan tindakan konkrit yang bakal direalisasikan mulai tarikh tersebut.

“Kita harap ketua-ketua jabatan atau bos-bos syarikat milik kerajaan negeri, yang berasa diri mereka bakal “diganti” selepas 100 hari PR mentadbir Selangor, segeralah undur secara terhormat, atau ‘dihapuskan'”. Tegas kumpulan ‘advocat’ PKR.

“Tan Sri Khalid dan barisan kepemimpinan PR Selangor, pasti sudah menyediakan sejumlah pakar dan korporat yang lebih profesional, berpengalaman, tidak rasuah, berjiwa rakyat, jujur, amanah, dan tekun bekerja, yakni lebih hebat daripada tinggalan MB Selangor terdahulu.

Selepas tiga tahun pentadbiran, mulai Mac 2011, kita menggempur bagi kemenangan PKR, PAS, DAP dalam PRU-13….

Sesungguhnya, kejayaan mengekalkan kemenangan dalam PRU-13 (pada 2013?), tentunya banyak bergantung pada empat tahap kejayaan pentadbiran dan pengurusan barisan kepemimpinan PR di Selangor Darul Ehsan.

Mari terus berusaha dan berdoa. Kerajaan PR di Selangor yang diterajui YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim “mampu melakukan perubahan”. Amin.

Advertisements

Actions

Information




%d bloggers like this: