Amanat Tan Sri Khalid kepada guru agama

22 05 2008

Kenyataan Media Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.

Guru-Guru Yang Dikasihi.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan taufik dan hidayah-Nya kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru yang Ke-37 pada tahun ini. Kita juga bersyukur kerana Hari Guru tahun ini disambut dengan penuh meriah dan gembira dalam suasana aman dan damai.

2. Saya berasa bangga kerana diundang hadir dan seterusnya merasmikan Majlis sambutan ini. Maka, saya, dengan yang sukacitanya, mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru dalam seliaan Jabatan Agama Islam Selangor.

3. Dan, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, iaitu “GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG”, saya menaruh kepercayaan kepada kalangan guru yang merupakan modal insan terpenting dalam usaha membantu kerajaan negeri Selangor khususnya, menuju pembinaan generasi berilmu dan berakhlak mulia.

Para Guru yang Bijaksana,

4. Profesion perguruan merupakan antara profesion yang paling lama dalam sejarah peradaban manusia. Dalam tamadun manusia, para nabi dan rasul diutus Allah untuk menjadi guru kepada umat pada zamannya. Tanpa para nabi dan rasul, dunia pasti berada dalam kegelapan.

5. Hingga pada hari ini warisan itu diteruskan oleh para ilmuan dan pendidik yang membawa mesej yang satu, iaitu mendidik umat supaya berilmu; mengenal dan memahami erti kehidupan, serta mengurus kehidupan berasaskan prinsip dan sistem yang diredhai Tuhan.

6. Semua tindak tanduk pengajaran dan pembelajaran seumpama itu yang disempurnakan oleh para nabi dan rasul, dan dalam kalangan umat seperti kita semua, sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud:

” Begitulah, kami jadikan kamu umat yang pertengahan, supaya kamu menjadi saksi (pemberi keterangan ) kepada manusia dan Rasul menjadi saksi kepada kamu. ” ( al- Baqarah; Ayat 143. )

7. Kita perlu menerima hakikat bahawa dunia pada hari ini amat jauh berbeza daripada masa dahulu. Dunia kini dalam era globalisasi. Era globalisasi memerlukan kepantasan penguasaan terhadap sumber maklumat dan menuntut keupayaan kita mempertahan prinsip dan nilai bagi menangani cabaran yang wujud. Usaha begini dilakukan bagi mengelak diri kita dan negara kita daripada tertinggal di belakang dan terperangkap dengan konflik nilai.

8. Dalam hal ini, bagi mengisi negeri Selangor dengan keamanan dan kesejahteraan, kita perlu terus aktif memainkan peranan masing-masing, di samping berwaspada bagi memastikan aspirasi dan kemajuan ini tidak tergugat semasa menghadapi segala cabaran.

9. Tegasnya, guru sebagai penjawat awam perlu terkehadapan dalam usaha menggarap kejadian pantas yang berlaku di seluruh dunia. Dalam perkataan lain, para guru perlu berusaha meningkatkan daya saing dan daya pengeluaran melalui penambahbaikan yang berterusan, yang disertai kecekapan, pembaharuan dan daya cipta.

10. Seterusnya, sejajar dengan hasrat Pakatan Rakyat menjadikan Selangor negeri idaman, maju dan sejahtera berasaskan pemerintahan bersih, maju dan berkebajikan, maka barisan kepemimpinan meletakkan misi untuk menguruskan kesinambungan kejayaan negeri maju melalui perkhidmatan yang mesra, mudah, cepat dan cekap selaras dengan tuntutan pelanggan.

11. Serentak dengan itu, pucuk kepemimpinan negeri memberi penekanan terhadap usaha memperlihatkan keseimbangan antara memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Sebagai peneraju negeri Selangor, saya, berhasrat melihat sistem pendidikan Islam di Selangor mampu melahirkan insan rabbani.

12. Bagi saya insan rabbani merupakan peribadi muslim yang kukuh pegangan akidah, berkualiti dalam amalan dan berakhlak dalam kehidupan. Saya percaya insan yang lahir ini nanti mampu mewujudkan masyarakat madani, iaitu masyarakat yang mampu menyeimbangkan antara mengisi keperluan dunia dan memenuhi keperluan di akhirat.

13. Saya percaya insan atau anggota masyarakat beginilah yang mampu mendepani zaman dan mencabar arus globalisasi lantaran penampilannya penuh berakhlak mulia dan sentiasa mencari keredhaan Allah..

14. Dalam konteks ini, kita bersyukur kerana dikurniakan negeri dan negara yang aman dan makmur, Dengan keamanan ini pelaksanaan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam usaha mendepani cabaran globalisasi, kerajaan negeri dalam kepemimpinan Pakatan Rakyat kini berusaha menjadikan Selangor “Hub Pendidikan”, iaitu menjadi pusat pendidikan dalam negeri, negara, rantau dan antarabangsa.

15. Dalam hal ini, saya ingin melihat sistem pendidikan Islam di negeri ini menjadi model bagi memenuhi cita-cita ini. Saya yakin sistem pendidikan kita merupakan antara yang terbaik dan boleh dikongsi bersama. Peluang pendidikan lebih terbuka dan penglibatan lebih besar.

16. Dengan yang demikian, peluang membangunkan umat berilmu dan menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan bagi manfaat rakyat Selangor, dapat direalisasikan dengan sewajarnya.

Para Guru yang Budiman,

17. Sesungguhnya, peranan guru amatlah penting, terutamanya dalam usaha mendidik murid-murid menjadi sumber modal insan masa hadapan. Guru berperanan memberi dan meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran dalam kalangan murid agar mereka menjadi aset berharga kepada negeri.

18. Guru bertangungjawab membimbing anak-anak didik dengan nilai agama dan budaya Timur agar mereka tidak terjerumus ke kancah yang negatif dan merosakkan identiti bangsa dan agama. Guru berperanan melahirkan anak didik menjadi muslim berakhlak dan berkeperibadian tinggi.

19. Seterusnya, kita percaya para guru mampu berperanan mendidik, membimbing dan mentarbiah murid-murid menjadi pewaris kepemimpinan masa hadapan. Sebenarnya, masyarakat madani yang kita cita-citakan melalui kelahiran insan rabbani berada di tangan guru-guru semua. Sabda Nabi Muhammad, yang bermaksud:

” kalangan orang beriman yang lebih sempurna imannya, pastilah mereka yang amat baik budi pekerti” – Riwayat Tirmizi.

20. Anak-anak didik yang baik budi pekerti tidak mungkin terhasil jikalau guru-guru tidak bersedia menjadi agen perubahan yang amat memahami aspirasi dan matlamat kerajaan negeri. Sebenarnya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, khususnya, memerlukan guru-guru yang memiliki minda kelas pertama dan sentiasa membangun diri menjadi modal insan kamil.

21 Kita ingin melihat kalangan guru yang berpandangan positif dalam era globalisasi dan seiring dengan kemajuan arus perkembangan teknologi. Mereka perlu menjadi perekacipta dan pengguna yang berkualiti. Dengan yang demikian, jelaslah peranan guru begitu penting dalam usaha menentukan arah tuju dan kemajuan nusa dan bangsa.

22. Seterusnya, golongan guru yang merupakan kakitangan kerajaan sewajarnya menjadi agen kerajaan negeri bagi menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat khususnya murid-murid di sekolah. Guru wajar terus memberikan sokongan padu bagi memastikan pelaksanaan dasar-dasar disempurnakan di semua peringkat. Ini bermakna, pelanggan atau pengguna dalam perkhidmatan awam perlu diutamakan.

23. Dalam hal ini, penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan secara telus, jujur dan beretika kerana pelanggan mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada kita. Kita pula perlu komited terhadap penyampaian perkhidmatan yang terbaik, mesra dan memenuhi kepuasan hati pelanggan, di samping mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Awam yang ditetapkan.

24. Antara alat penyampaian yang perlu diberi perhatian, termasuklah dokumen pejabat seperti surat, laporan atau kertas kerja, yang perlu dituliskan dalam bahasa Melayu yang betul, tepat, santun, jelas dan mudah difaham.

25. Justeru itu, guru perlu mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan sikap agar seiring dengan arus perdana pendidikan negara. Sebagai modal insan yang diingini, guru mesti berpenampilan proaktif, dinamik, kreatif, kritis, inovatif dan efisyen.

26. Di samping itu, guru-guru perlu menghargai metodologi pendidikan tradisional dan mempraktis metodologi pendidikan moden. Guru juga perlu mengiktiraf potensi sedia ada dalam kalangan murid dan menjayakan konsep pemusatan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran.

27. Sehubungan ini, kita menyedari betapa Sistem Pendidikan Islam di negeri Selangor mendapat sokongan dan sambutan masyarakat Islam. Dengan sebab itu, kita memerlukan guru-guru yang tinggi sahsiah dan berwibawa bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar kelas.

28. Usaha mempertingkat profesionalisme keguruan pula wajar dilakukan secara berterusan dan konsisten. Penerapan nilai murni, iaitu 17 item sebagaimana terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988, dengan konsep Islam syumul, sebagai teras wajar menjadi rujukan bagi membangunkan sahsiah guru. Kerajaan negeri pasti sentiasa memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan usaha murni ini.

Guru-Guru yang Dirahmati Allah,

29. Sejak belakangan ini kita sering dikejutkan dengan isu gejala sosial yang menular dalam kalangan murid sekolah seperti gangsterisme, buli, ponteng sekolah, cinta remaja dan vandalisme. Terdapat banyak faktor yang menjadikan anak-anak didik berkeadaan demikian. Sebahagian mereka mungkin keliru dalam hal menerapkan nilai ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan realiti kehidupan seharian.

30. Pengaruh media cetak dan media elektronik, kebobrokan rumah tangga, dan keadaan jiran yang semakin menjauh, turut mempengaruhi anak-anak didik semakin liar atau terjebak dalam aktiviti merempit atau melakukan pelbagai jenayah.

31. Namun begitu, kita tidak sepatutnya menuding jari mencari punca salah siapakah ini. Kita perlu terbuka dan ikhlas bagi menangani isu ini. Saya menyarankan agar guru-guru meresapi anak-anak didik dengan nilai-nilai agama dan budaya Timur. Bimbinglah murid-murid dengan kefahaman akidah yang benar dan sah. Didiklah mereka dengan kefahaman Islam yang disesuaikan dengan contoh-contoh atau keadaan semasa.

32. Gunakan pendekatan dakwah yang berhemah semasa menasihati murid-murid yang bermasalah. Dalam hal ini, perkhidmatan kaunseling di sekolah perlu diperkasakan. Guru perlu memainkan peranan lebih aktif dan jujur dalam usaha membantu mencari punca masalah dan mengenalpasti penyelesaiannya. Ini demikian, kerana guru amat memahami perkembangan dan permasalahan murid-murid di sekolah. Namun begitu, guru janganlah bersikap ibarat “harapkan pagar, pagar makan padi”. Guru-guru tentu faham, apa yang saya maksudkan…

33. Sebagai guru, buktikanlah yang tuan-tuan dan puan-puan merupakan modal insan terpilih. Guru-guru dilatih bagi membangun insan dan membentuk sahsiah mulia murid-murid kita. Usaha membina sahsiah ini wajar berterusan selagi mereka berada di sekolah. Mereka merupakan pelanggan utama dalam perkhidmatan pendidikan.

34. Saya percaya melalui guru yang baik dan kreatif, kurikulum yang kemas kini, dan sistem pengurusan yang produktif, mampu melahirkan kumpulan modal insan berkualiti.

35. Dalam masa yang sama pihak kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak meminggirkan kebajikan guru. Kita sedar betapa jasa dan pengorbanan para guru perlu dihargai. Pelbagai insentif dan skim baharu perkhidmatan turut diberikan dari semasa ke semasa. Malah sebahagian insentif dan skim baharu yang diperkenalkan itu hanya dinikmati oleh para guru.

36. Semua insentif dan ganjaran tersebut merupakan tanda pengiktirafan dan “Terima Kasih” kerajaan terhadap jasa dan sumbangan guru-guru selama ini.

37. Selaku Menteri Besar Selangor, saya mengharapkan dengan bilangan perjawatan yang semakin bertambah dan peluang kenaikan pangkat guru-guru dalam perkhidmatan pendidikan, dijangka membangkitkan semangat bekerja yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di negeri Selangor khususnya.

38. Kerajaan negeri sedia memberikan sokongan sepenuhnya bagi menjayakan visi dan misi pendidikan Islam. Kita percaya inilah benteng terpenting dalam membina jati diri murid-murid Islam ke arah melahirkan remaja yang berakhlak mulia dan pewaris modal insan masa hadapan.

39. Pada kesempatan ini, saya suka menyarankan agar anak-anak kita, terutama yang belajar di sekolah aliran kebangsaan, diajar menguasai tulisan jawi. Pada zaman saya masih bersekolah rendah dan menengah, tulisan jawi merupakan pelajaran yang menjadi komponen wajib dalam pelajaran subjek Bahasa Melayu.

40. Malah tulisan jawi menjadi subjek tersendiri dalam beberapa sekolah aliran kebangsaan. Oleh sebab itu, generasi yang berusia 50-an dan 60-an, seperti saya dan sebahagian hadirin di dalam majlis ini, boleh menulis dan membaca jawi dengan lancar.

41. Sedih sekali, kerana kemahiran menulis dan membaca jawi, nampaknya semakin pupus dalam sistem pendidikan di negara kita pada tahun 1970-an hingga sekarang, iaitu apabila hasilnya banyak orang di Malaysia kini yang tidak tahu menulis jawi. Jauh sekali membaca jawi.

42. Sebab itulah surat khabar jawi, iaitu akhbar Utusan Zaman turut terkubur, manakala terbitan berciri keagamaan yang sepatutnya diterbitkan dalam huruf jawi, terpaksa diterbitkan dalam huruf rumi kerana masalah pembaca yang tidak gemar atau tidak tahu membaca jawi.. Dalam hal ini, kita terfikir, bagaimanakah anak-anak muda kita belajar membaca al-Quran jika tidak mahir tulisan jawi?

43. Saya serahkan hal mengembalikan minat dan memuliakan tulisan jawi dalam kalangan orang Melayu khususnya, kepada hadirin yang bijak pandai. Atau, kalangan pakar tulisan jawi ini boleh berbincang dengan Yang Berhormat Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali atau dengan Yang Berhormat Dr. Halimah binti Ali, bagi mencari cara terbaik memartabatkan kembali tulisan jawi ke tempatnya sebagai tulisan yang digunakan bagi merakam kalam Allah, iaitu kitab suci al-Quran.

44. Saya berharap sambutan Hari Guru bakal diteruskan di pelbagai peringkat sebagai bukti penghargaan kita kepada golongan mulia lagi yang berjasa ini. Tahniah kepada guru-guru yang dipilih menerima anugerah sempena sambutan hari guru pada tahun 2008. Pengiktirafan ini sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini.

45. Bagi saya, tuan-tuan dan puan-puan yang menceburi bidang perguruan merupakan model modal insan yang wajar dicontohi. Akhir kata , semoga khidmat bakti para guru diberkati dan diberi pembalasan seadil-adilnya daripada Allah SWT. Tidak ada perkataan yang lebih wajar dan bermakna untuk diucapkan selain ucapan ikhlas daripada saya , “Selamat Hari Guru” dan “Terima Kasih Cik Gu”.

MELUKAH KELI DAPAT SEMBILANG
TESEPAK KERANG TERPIJAK TIRAM
GURU CEMERLANG MURID TERBILANG
RAKYAT SEJAHTERA NEGERI TENTERAM

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalam Mualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.
Salam mesra daripada:

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Advertisements

Actions

Information




%d bloggers like this: