Fakta Krisis Perlembagaan Perak

7 02 2009

YAB Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar Jamaludin menafikan laporan akhbar perdana dan TV1 berhubung ura-ura mengambil tindakan mahkamah terhadap DYMM Tuanku Sultan Perak. Laporan itu adalah fitnah dan pembohongan besar UMNO/BN untuk menyembunyikan pencabulan undang-undang yang mereka lakukan dalam rampasan kuasa di Perak.

Tindakan dari sudut undang-undang yang akan diambil ialah terhadap ADUN Pangkor, YB Dato’ Dr. Zambry Abdul Kadir yang mengangkat sumpah sebagai MB di Istana Iskandariah petang tadi. Angkat sumpah tersebut bercanggah dengan perlembagaan kerana Dato’ Seri Haji Nizar masih sah sebagai MB mengikut perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri Perak.

Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar akan memohon perisytiharan mahkamah bahawa beliau adalah Menteri Besar negeri Perak yang sah mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri.

Perkara 16(6) memperuntukkan MB hanya boleh lucut jawatannya melalui 3 cara:

1. Pembubaran DUN.
2. Undi tidak percaya dalam sidang DUN.
3. Meletak jawatan.

Perlantikan YB Dato’ Dr. Zambry sebagai MB baru adalah tidak sah kerana YAB Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar masih tidak lucut jawatannya melalui mana-mana antara 3 cara yang diperuntukkan oleh undang-undang perlembagaan tersebut.

Merujuk kepada perenggan akhir Kenyataan Media Pejabat Tuanku Sultan petang 5 Februari yang menyatakan “Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan”, Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar menegaskan bahawa ia tidak menepati mana-mana peruntukan Undang-Undang Perlembagaan berhubung ‘lucut jawatan’ Menteri Besar.

Menjawab soalan wartawan berhubung kedudukan sebenar Kerajaan Negeri Perak selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar baru di Istana Iskandariah petang tadi, Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar mendesak UMNO supaya memberhentikan tindakan melanggar perlembagaan yang telah dan sedang mereka lakukan. “I’m still the legitimate Chief Minister of Perak. Hari ini Perak ada dua Menteri Besar. Saya sebagai Menteri Besar yang sah dan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar haram” katanya.

Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar turut menyelar UMNO kerana takut berdepan dengan pembubaran DUN dan pilihanraya negeri untuk mendapat mandat muktamad dari rakyat. “UMNO dayus dan UMNO pondan kerana sanggup mengeksploit institusi Raja secara jahat untuk merampas kuasa diluar batas undang-undang dan perlembagaan.”

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan himpunan membantah perlantikan Menteri Besar baru di Bukit Chandan selepas solat Jumaat petang tadi tiada kena mengena dengan Dato’ Seri Haji Mohamad Nizar. Bantahan yang disuarakan itu adalah manifestasi hasrat dan suara rakyat yang kecewa dengan konspirasi politik yang dicetuskan oleh UMNO.

PAS Perak kesal dengan tindakan pasukan keselamatan yang bertindak melepaskan gas pemedih mata sehingga ke dalam kawasan Masjid Ubudiah yang akhirnya mencetuskan suasana kecoh berhampiran Istana Iskandariah.

Advertisements