Teka-teki Pak Lah

9 10 2008

Apa sebenarnya yang telah berlaku pada 8 Oktober 2008? Ya, selepas Abdullah Ahmad Badawi bertemu para pemimpin dan parti politik komponen Barisan Nasional…

Mari kita fahami bersama.

Abdullah Ahmad Badawi sehingga kini masih menduduki semua kerusi bagi jawatan yang disandangnya, termasuklah dia masih Perdana Menteri Malaysia, dia masih Presiden UMNO, dia masih Pengerusi Barisan Nasional, dan dia masih Menteri Pertahanan Malaysia.

Jadi apakah ertinya pengumuman oleh Abdullah Ahmad Badawi semalam yang boleh kita fahami sebagai memanfaatkan Rakyat dan Negara Malaysia?

Apa yang kita faham ialah, manfaat sebenar sepertimana desakan awal yang perlu diutamakan oleh Abdullah Ahmad Badawi yakni meletakkan semua jawatannya pada 9 Mac 2008. Sebaik sahaja PRU 12.

Namun, tempoh perletakan jawatan ini telah berlanjutan dan berlarutan, sehingga kini dan seterusnya ke 9 Mac 2009 pula. Kemudian..? Sambung lagi?

Buktinya dalam Klip Video Malaysiakini ini, menunjukkan Abdullah Ahmad Badawi mengakui ini bukan pengumuman selamat tinggal. Jadi berapa lamakah lagi dia akan terus berkuasa dan tidak jugak meletakkan semua jawatan yang disandangnya?

Memang, dengan cukup licik dia bertempoh, dan ibarat pemimpin yang lemas dalam politik dia dapat menggapai apa sahaja untuk bertahan dalam survival politiknya sehingga 9 Mac 2009 pula.

Dalam tempoh dari sekarang sehingga ke tarikh itu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Dan apakah jaminan bahawa, Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berusaha untuk melanjutkan kerjayanya sehingga pertengahan 2010, atau apa yang saya maksudkan sebagai lanjutan sehingga 1 Jun 2100?

Abdullah Ahmad Badawi tidak ikhlas dalam pengumumannya semalam. Pengumuman itu dibuat sekadar untuk meredakan bahang desakan supaya peralihan kepemimpinan dan perpindahan kuasa dilakukan awal.

Erti desakan itu sebenarnya ialah Abdullah Ahmad Badawi, meletak semua jawatan semalam, yakni 8 Oktober 2008. Ya, sebelum mesyuarat UMNO Bahagian dimulakan. Barulah bermakna peralihan kepemimpinan dan perpindahan kuasa tersebut.

Ini tidak. Permainan yang dimainkan oleh Abdullah Ahmad Badawi ialah *tidak bertanding jawatan Presiden UMNO pada 9 Mac 2009*.

Itu samalah seperti memiliki sebakul buah-buahan yang lazat, dan pada 8 Oktober 2008, dia hanya bagi Rakyat dan Negara Malaysia kulit bungkusan bakul tersebut. Selainnya isi masih disimpannya erat.

Jadi, dengan Abdullah Ahmad Badawi kekal sehingga 9 Mac 2009, dan entah bersambung lagi atau pun tidak selepas itu, maka soalnya ialah:

* Apakah implikasi kepada perubahan yang mahu dilakukan oleh pemimpin pengganti demi kebaikan semua, yang mahu dilaksanakan bila Abdullah Ahmad Badawi telah letak semua jawatannya pada 8 Oktober 2008.

* Kenapa payah baginya untuk meletakkan semua jawatan yang disandangnya, pada 8 Oktober 2008, dan ini kemudiannya menjadikan kepayahan pula kepada penggantinya dan para pemimpin lain, ketika dia masih berada di tampok kuasa itu?

* Apakah yang hendak dilakukannya semasa masih berkuasa tidak boleh dilakukan oleh penggantinya dan pasukan kepemimpinan baru? Jika pun dilakukan, apakah pemimpin pengganti dan para pemimpin lain kelak tidak akan mengubahnya?

Apa lagi nak tubuh
tiga Suruhanjaya dan ada lima misi lagi?

Perlu diingatkan bahawa masalah utama di Malaysia sehingga kini ialah Abdullah Ahmad Badawi, sebagai pemimpin dan kepemimpinannya.

Seterusnya mari kita sama-sama melihat sama ada Mohd Najib Abdul Razak cukup bijaksana dalam memahami apa yang telah diumumkan, dan apa yang akan barlaku di Malaysia setelah pengumuman Abdullah Ahmad Badawi ini. Ini boleh dilihat bila Mohd Najib Abdul Razak memberi respons balasnya perihal pengumuman Abdullah Ahmad Badawi ini.

Pada kita, pengumuman Abdullah Ahmad Badawi 8 Oktober 2008 itu hanyalah satu permainan Tarian “Gohead-Gostan” politik untuk mempermainkan Rakyat Malaysia. Adakah Mohd Najib Abdul Razak pun kena main sama…

Advertisements




Anwar: Lagi Diserang, Lagi Kuat Sokongan

22 08 2008
Sementara keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh belum diumumkan, eloklah seluruh rakyat Malaysia meneliti bagaimana persembahan media arus perdana di negara ini sejak Dato’ Seri Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Tujuannya ialah supaya, mana-mana pihak yang ingin melakukan ‘post mortem’ terhadap Pilihanraya Kecil Permatang Pauh nanti dapat membuat cerapan yang tepat terhadap keputusan yang dibuat oleh rakyat. Mereka dapat menyaksikan secara langsung sekarang, bukan selepas pilihanraya.

Sejak Wan Azizah melepaskan kerusi Parlimen, belum ada satu hari berlalu di mana Dato’ Seri Anwar tidak diserang secara peribadi. Bahkan serangan terhadap Anwar melebihi dari serangan terhadap pihak pembangkang sendiri.

Sewaktu Anwar membayangkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, beliau dikecam kerana kononnya ingin menambahkan bilangan ahli keluarganya yang menjadi ahli Parlimen.

“Anaknya Nurul Izzah di Lembah Pantai, isterinya Wan Azizah di Permatang Pauh dan sekarang Anwar pula di Kulim Bandar Baharu. Mereka nak jadikan PKR sebagai parti milik kelurga,” ujar seorang pemimpin Umno.

ImageTiba-tiba Anwar pilh Permatang Pauh. Pun tak betul juga. Kononnya Wan Azizah permainkan mandat rakyat, Anwar pilih kerusi selamat dan itu simbol kasih sayang isteri kepada seorang isteri.

Semua komen berbentuk peribadi itu datangnya dari pemimpin utama BN. Antaranya Dato’ Seri Najib, Dato� Hishamudin Tun Hussein, Syed Hamid Albar, Shahrizat Jalil, Khairy Jamaludin dan lain-lain. Semua komen yang mereka berikan tidak memberi kesan apa-apa terhadap politik Anwar. Ia cuma menyakitkan hati rakyat.

Sehari sebelum penamaan calon, dunia digemparkan dengan sumpah Saiful Bukhari. Ia dijawab dengan kehadiran 100,000 orang mengiringi Anwar di hari penamaan calon. Umno lebih terkejut kerana yang hadir mengiringi Anwar ialah seorang ulamak besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sukar untuk difikirkan apa jenis manusia yang bernama Anwar ini, semakin diserang dan ditelanjangi maka semakin kuat pula sokongan untuknya.

ImageKata Tun Dr Mahathir, Anwar kalau bersalah macam mana pun seluruh dunia akan percaya cakapnya kemudian. Cakap bekas Perdana Menteri itu celupar dan irihati. Tapi itu pengalaman benar yang dilaluinya.

Orang ramai lebih percayakan Anwar dari Dr Mahathir, Abdullah dan Najib.

Dr Mahathir ikhlas dalam komennya bahawa BN tidak mungkin mengalahkan Anwar dalam pilihanraya kecil ini. Dia lebih perit berhadapan dengan Anwar sehingga menjadi hina di kalangan rakyat.

Image Merdeka Centre yang terkenal dengan analisis politik berasaskan kajiselidik. Mereka telah mendedahkan bagaimana pihak pembangkang mendapat peningkatan sokongan di saat-saat akhir menjelang hari mengundi selepas Anwar diserang.

Sekarang jika BN memilih untuk membelasah Anwar habis-habisan, mereka sudah boleh menduga apa yang perlu diisi dalam post mortem selepas kelahan mereka dalam pilihanraya kecil nanti. Tentulah antara sebab utamanya ialah kerana menyerang Anwar secara peribadi dan keterlaluan.

Tapi apa pilihan yang ada pada BN jika tidak menyerang Anwar? Hakikatnya pilihanraya kecil ini bukanlah untuk memilih seorang wakil rakyat sama ada dari Pakatan Rakyat atau BN.

Tetapi lebih kepada, untuk menghantar Anwar Ibrahim ke Parlimen bagi melaksanakan misi nasionalnya manakala di pihak BN pula, ialah untuk menggagalkan usaha tersebut.

Jika BN menyerang peribadi Anwar, mereka kalah undi. Jika BN tidak serang Anwar, mereka akan kalah moral dan undi pun belum tentu. Tentulah pilihannya menang moral. Biar kalah tapi hati puas.

Sehingga rencana ini ditulis, belum terdapat satu analisa dari mana-mana pihak yang memberi kemenangan kepada calon BN, sekalipun dari Bilik Gerakan BN sendiri.

Sebuah akhbar harian yang melakukan pungutan pendapat dari pengundi mendapati sokongan terhadap Anwar dan BN ialah 80:20!

Kita berharap angka analisis mereka tidak berubah hingga ke saat akhir.





7.7% kadar Inflasi: Krisis Penjernihan Iklim Politik dan Ekonomi Negara

24 07 2008

a
Bloomberg Asia hari ini melaporkan, kadar inflasi negara pada bulan Jun 2008 ialah sebanyak 7.7% dan sekaligus mencatatkan rekod tertinggi sejak 26 tahun lalu.

Kenaikan inflasi yang mendadak ini sekaligus mencetuskan spekulasi yang Bank Negara akan menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

Sedangkan pihak umum mengetahui kadar faedah pembelian kereta telah pun dinaikkan oleh pihak bank-bank tertentu mulai bulan Jun baru-baru ini. Berdasarkan maklumat sumber dalaman bank, CIMB Bank dikenalpasti mendahului bank-bank di Malaysia.

Datuk Shahrir Samad, Menteri di KPDN&HEP dipetik sebagai berkata :“Indeks Harga Pengguna untuk bulan Julai turut dijangka akan melebihi 7% dan berkemungkinan besar, Malaysia akan mengikut cara Thailand dan Indonesia yang sudahpun menaikkan kadar faedah mereka.”

Bila ditanya bilakah kerajaan akan menaikkan kadar faedah, Shahrir berkata :

“50-50 dalam minggu ini dan jika tidak, mungkin pada Ogos ini”

Komentar:

  1. Tahniah Pak Lah kerana menyebabkan Masyarakat Malaysia menghadapi krisis ekonomi yg buruk sejak 26 tahun dan dijangka paling buruk dlm 2/3 bulan yg mendatang sekiranya tiada tindakan yg komprehensif dilakukan terhadap pengurusan ekonomi dan politik Negara
  2. Tahniah Bank adik beradik Pak Jib mendahului bank2 lain dlm “menaikkan taraf hidup” rakyat jelata dgn cekap, efisyen dan cepat
  3. Tahniah Pak Shahrir pendokong kuat Pak Lah yang juga “bijak bestari” dlm menguruskan hal ehwal rakyat jelata dgn ide2 yg flip flop.
  4. Tahniah yg paling besar ialah kpd Tun M yg mengekalkan tradisi bijaksana menyerahkan kepimpinan yg “meNAIKkan” segala kemajuan utk rakyat sambil sempat menikmatinya diakhir titi usia remajanya kini.
  5. Tahniah kepada rakyat Malaysia yg mengundi Be End dgn penuh bangganya hari ini, esok dan kekal abadi

Apakah tiada tindakan yang boleh dilakukan oleh Pak Lah sebagai pemimpin yang pernah hidup bersama rakyat jelata. Adakah boleh “lena” melihat penderitaan rakyat melalui Istana Putrajaya dgn segala kemewahan anak menantu. Tidak terhimbaukah akan keperitan dan kesengsaraan rakyat dgn KENAIKKAN yg mendadak? Apa lagi yg nak dicari dlm kehidupan sementara ini. Segala nikmat dlm kehidupan dunia ini hanya sekelumit cuma. Tiada yg kekal.


Apa tindakan segera?

    1. Jangan serah kepimpinan & alih kuasa kpd mereka yang sudah tampak boros dlm pengurusan ekonomi dan bobrok politik mrk yg khayal dgn kemewahan dewasa ini.
    2. Pastikan tiada campurtangan kuasa dlm pelaksanaan system kehakiman Negara
    3. Biarkan Pihak BPR menjalankan siasatan yg telus tanpa mengira kasta
    4. Panggil pakar-pakar ekonomi tanpa mengira partai utk berbincang dan mengemukakn pelan tindakan komprehensif negara dan LAKSANA SEGERA
    5. Kalau tak boleh buat… letakLAH jawatan dgn buat Pilihanraya agar rakyat buat pilihan.
  1. Istighfar banyak2. Hidup ini hanya sementara. Esok Lusa ke alam barzakh. Tiada bekalan melainkan amalan soleh di mukabumi ini.
  2. Review semula pengurusan ekonomi dgn dimulai penurunan harga minyak agar kadar inflasi tidak mencanak NAIK menggila dlm bulan2 yg mendatang.
  3. Kurangkan 10-20% harga minyak awal Ogos ini.
  4. Tarik pelabur2 asing ke Malaysia dgn pengurusan Negara yg telus dari sudut politik, ekonomi dan sosialnya




Yahya Saari: Satu Konspirasi?

24 06 2008

“Dalam keseronokan Menteri Besar Selangor berpesta dengan kenyataan akhbarnya terutama Malaysiakini, Khalid tidak sedar bahawa dia telah bertindak sebagai bukan anak jantan, tidak gentlemen dan terserlah kebaculan.

Tindakan Khalid Ibrahim menggantong pegawai khasnya melalui sistem pesanan ringkas adalah sangat tidak professional dan memalukan.

Khalid membuat lawak bodoh kononnya supaya Yahya tidak “terperanjat” sebaliknya Khalid sendiri yang terkejut beruk apabila dia terpaksa membatalkan mesyuarat perhubungan negeri bila mendapati 20 dari 22 ketua bahagian berdiri dibelakang Yahya Sahri.

Sifat pengecut Tan Sri Khalid terserlah apabila dia tidak mampu berdepan atau memanggil Yahya untuk berbincang atau memberi penjelasan ketika diminta dalam dialog bersama reformis lewat malam Isnin 23 Jun baru semalam

Begitu juga dengan ahli biro politik kecuali Yaakob Sapari, lari bertempiaran apabila para reformis muncul. Kemanakah menghilangnya YB Zuraidah, YB Xavier, YB Sivarasa? Mereka lari bila berdepan dengan reformis!.

Adalah dilaporkan bahawa di dalam mesyuarat, jika masa enam jam, 5 jam diambil masa oleh Khalid untuk bercakap, sau jam untuk yang lain, menjadikan mereka hanya ada lima atau enam minit untuk bercakap. Begitu juga dalam mesyuarat EXCO, Khalid sahaja yang bercakap tetapi orang lain tidak.

Beberapa persoalan perlu dijawab oleh Tan Sri Khalid Ibrahim mengapa dia sendiri tergopoh gapah mengambil tindakan kepada Yahya Sahri?

Ini bermakna tidak ujud langsung collective concencus dalam membuat keputusan. Khalid sendiri sering berkata, dia membuat keputusan. Biasanya keputusan Khalid tidak boleh diubah. Dari dulu hingga sekarang.

Jelas, dan nyata, cara pengurusan CEO Negeri Selangor ini adalah “Self Centered”, autokratik dan memaksa. Dalam jangkamasa yang panjang, kaedah pengurusan Khalid dalam menguruskan negeri ini akan makan dirinya sendiri. Ini sudah terbukti dalam beberapa keputusan yang dibuatnya sebelum ini.

Mengapakah tidak didedahkan siapa sebenarnya disebalik laporan yang berjaya memangsakan Yahya Sahri?

Pelapor Utama : Remy Iskandar – Pekerjaan : Tarik kereta Rosak/kemalangan – Kadar literasi : Tidak tahu menulis dan membaca. Hubungan dengan TSKI : Anak saudara (mengikut pengakuan Remy Iskandar dan disahkan oleh Hajiman Ibrahim, adik Tan Sri Khalid.

Tok Dalang : Haji Hajiman Ibrahim – Pekerjaan : Akauntan. Ahli PAS yang kini melompat masuk PKR. Tersenarai sebagai calon Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor dan Ketua Kampong.

Hajiman telah memanggil Remy dan mengarahkannya membuat laporan BPR apabila mendapat salinan kepala surat dari pejabat Menteri Besar. Siapa yang berikan surat kepada Hajiman?

Sebelum peristiwa ini berlaku Remy beberapa kali memberitahu bahawa Hajiman ada dokumen termasuk dokumen penyelewengan kawasan pasir di Daerah Hulu Langat yang melibatkan seorang lagi Pegawai Khas MB, Haji Mustafa.

Baru-baru ini dilaporkan seorang lagi pegawai Menteri Besar di Ijok terlibat dengan pengeluaran pasir di kawasan Kuala Selangor.

Mengapa Hajiman tidak tampil kehadapan membuat laporan akan perkara ini.

Apakah pemberatan yang diambil oleh Khalid, berapa kali kah Biro Politik PKR bersidang untuk membuat keputusan menggantong Yahya dari tugas. Apakah keputusan ini keputusan perkhidmatan, keputusan politik, atau keputusan peribadi atau satu konspirasi?

Jika ini keputusan perkhidmatan, nyatakan dalam seksyen mana, perkara mana Yahya di gantong selama dua bulan. Tindakan menggantong ini tidak lebih hanya sebagai menguji kekuatan Yahya dan cuba memalukan pejuang ini.

Bagaimana pula dengan ADUN Ampang yang diberitakan bergelut dengan berbagai salahlaku dan salahguna kuasa, tidak menghormati bahagian dan mula mengamalkan kronisma.

Jika ini keputusan politik sudah dikajikah implikasi dan kesannya terhadap masa depan parti? Kenalkah Tan Sri Khalid siapa Yahya? Apa jasa Yahya kepada parti? Menganiaya Yahya ibarat mencubit peha kanan, terasa peha kiri.

Tindakan Yahya meletak jawatan bukan tindakan tergopoh gapah tetapi tindakan yang sudah dipersetujui melalui pandangan dan musyawarah rakan-rakan reformis dan 80 peratus Ketua-ketua Bahagian dan Jawatankuasa.

Pastinya Khalid tidak mampu menjawab kerana dia hanya menjadi ahli PKR baru tidak lebih 3 tahun. Sedangkan Yahya dan rakan reformis sudah menggungguli perjuangan ini sejak ia bermula hingga hari ini. Keadilan Kuala Selangor diasaskan oleh Yahya Sahri, Allahyarham Muhayat, Arshad Abu Bakar, Zainal Samad, Pak Kudus dan ramai lagi.

Datanglah bertandang ke bahagian ini. Pejabatnya hanya lebih baik sedikit dari reban ayam. Sedangkan Ketuanya adalah Berjawatan Menteri Besar, bergaji besar dan menerima elaun sebagai pengerusi semua GLC – di bawah MBI Incorporated sebanyak RM100 ribu sebulan.

Sebagai satu catatan rekod, Khalid mendapat jawatan sebagai Ketua Bahagian Kuala Selangor “on a silver platter” apabila Ketua Bahagian PKR Kuala Selangor Saudara Arshad Abu Bakar memberikannya jawatan itu kepadanya.

Hairan bin ajaib, Khalid Ibrahim bertindak tidak lebih semacam ejen Barisan Nasional dan ejen UMNO. Ini kerana perbuatan Khalid akan menjejaskan pergerakan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya. Tindakan Khalid merosakkan parti.

Khalid diingatkan, jangan jadi ayam jantan yang “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi, paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih”.

Para Reformis mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YB Abdullah Sani yang berjaya meredakan suasana dengan bijaksana pada masa yang sama meletakkan ADUN lain pada kelas yang rendah.





Semakin banyak barang naik,semakin tinggi harapan rakyat pada PR

5 06 2008

Lewat petang semalam negara dikejutkan dengan pengumuman kenaikkan harga petrol dan diesel oleh mamanda Perdana Menteri kesayangan ramai,Abdullah Ahmad Badawi.Selepas mendengar berita ini dari rakan-rakan serta Berita Terkini di TV3,P.I terus terkedu bila mengetahui pengumuman tersebut.

Baru 2 hari lepas P.I,melalui artikel P.I yang bertajuk “Alahai..minyak mungkin naik lagi” mengatakan bahawa kemungkinan harga petrol dan diesel akan naik pada Ogos depan.Apa yang P.I tulis pada hari itu adalah berdasarkan sidang akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Dato’ Shahrir Abdul Samad.Namun ternyata kerajaan pimpinan Pak Lah kesayangan ramai ini gemar menipu rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Bila harga minyak melambung,maka khabar-khabar angin bahawa teori domino akan berlaku bila-bila masa sahaja.Bila teori ini berlaku,maka yang makin terseksa dan sengsara ialah rakyat marhein termasuk P.I sendiri.Hampir pasti banyak barang yang akan turut serta naik nilainya.

P.I percaya,semakin teori domino menghampiri negara kita,semakin besar harapan rakyat yang mahukan perubahan segera.Semalam ketika menunggu giliran memenuhkan tangki minyak kereta,P.I banyak mendengar keluh resah rakyat kebanyakkan yang menyesali kenaikkan harga minyak ini.Ada yang bersuara menyesali memilih Barisan Nasional pada PRU12 baru-baru ini.

Ada yang menyuarakan betapa tingginya harapan untuk melihat kerajaan akan bertukar dengan seberapa segera bagi menyelamatkan rakyat dari terus ditindas dengan pelbagai isu.Harapan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin tinggi selepas harga minyak melambung tinggi.Terima kasih Pak Lah kerana tindakan beliau semakin menghapuskan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional.

Bagi P.I sendiri,andai Allah berkehendakkan Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan,ianya akan tetap berlaku,cuma waktunya yang tidak diketahui.Sama-samalah kita berdoa agar ianya cepat berlaku kerana doa orang teraniaya akan dimakbul.Selain itu Pakatan Rakyat perlulah lebih bersedia untuk mentadbir kerana segala kemungkinan boleh berlaku.-





Amanat Tan Sri Khalid kepada guru agama

22 05 2008

Kenyataan Media Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.

Guru-Guru Yang Dikasihi.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan taufik dan hidayah-Nya kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru yang Ke-37 pada tahun ini. Kita juga bersyukur kerana Hari Guru tahun ini disambut dengan penuh meriah dan gembira dalam suasana aman dan damai.

2. Saya berasa bangga kerana diundang hadir dan seterusnya merasmikan Majlis sambutan ini. Maka, saya, dengan yang sukacitanya, mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru dalam seliaan Jabatan Agama Islam Selangor.

3. Dan, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, iaitu “GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG”, saya menaruh kepercayaan kepada kalangan guru yang merupakan modal insan terpenting dalam usaha membantu kerajaan negeri Selangor khususnya, menuju pembinaan generasi berilmu dan berakhlak mulia.

Para Guru yang Bijaksana,

4. Profesion perguruan merupakan antara profesion yang paling lama dalam sejarah peradaban manusia. Dalam tamadun manusia, para nabi dan rasul diutus Allah untuk menjadi guru kepada umat pada zamannya. Tanpa para nabi dan rasul, dunia pasti berada dalam kegelapan.

5. Hingga pada hari ini warisan itu diteruskan oleh para ilmuan dan pendidik yang membawa mesej yang satu, iaitu mendidik umat supaya berilmu; mengenal dan memahami erti kehidupan, serta mengurus kehidupan berasaskan prinsip dan sistem yang diredhai Tuhan.

6. Semua tindak tanduk pengajaran dan pembelajaran seumpama itu yang disempurnakan oleh para nabi dan rasul, dan dalam kalangan umat seperti kita semua, sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud:

” Begitulah, kami jadikan kamu umat yang pertengahan, supaya kamu menjadi saksi (pemberi keterangan ) kepada manusia dan Rasul menjadi saksi kepada kamu. ” ( al- Baqarah; Ayat 143. )

7. Kita perlu menerima hakikat bahawa dunia pada hari ini amat jauh berbeza daripada masa dahulu. Dunia kini dalam era globalisasi. Era globalisasi memerlukan kepantasan penguasaan terhadap sumber maklumat dan menuntut keupayaan kita mempertahan prinsip dan nilai bagi menangani cabaran yang wujud. Usaha begini dilakukan bagi mengelak diri kita dan negara kita daripada tertinggal di belakang dan terperangkap dengan konflik nilai.

8. Dalam hal ini, bagi mengisi negeri Selangor dengan keamanan dan kesejahteraan, kita perlu terus aktif memainkan peranan masing-masing, di samping berwaspada bagi memastikan aspirasi dan kemajuan ini tidak tergugat semasa menghadapi segala cabaran.

9. Tegasnya, guru sebagai penjawat awam perlu terkehadapan dalam usaha menggarap kejadian pantas yang berlaku di seluruh dunia. Dalam perkataan lain, para guru perlu berusaha meningkatkan daya saing dan daya pengeluaran melalui penambahbaikan yang berterusan, yang disertai kecekapan, pembaharuan dan daya cipta.

10. Seterusnya, sejajar dengan hasrat Pakatan Rakyat menjadikan Selangor negeri idaman, maju dan sejahtera berasaskan pemerintahan bersih, maju dan berkebajikan, maka barisan kepemimpinan meletakkan misi untuk menguruskan kesinambungan kejayaan negeri maju melalui perkhidmatan yang mesra, mudah, cepat dan cekap selaras dengan tuntutan pelanggan.

11. Serentak dengan itu, pucuk kepemimpinan negeri memberi penekanan terhadap usaha memperlihatkan keseimbangan antara memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Sebagai peneraju negeri Selangor, saya, berhasrat melihat sistem pendidikan Islam di Selangor mampu melahirkan insan rabbani.

12. Bagi saya insan rabbani merupakan peribadi muslim yang kukuh pegangan akidah, berkualiti dalam amalan dan berakhlak dalam kehidupan. Saya percaya insan yang lahir ini nanti mampu mewujudkan masyarakat madani, iaitu masyarakat yang mampu menyeimbangkan antara mengisi keperluan dunia dan memenuhi keperluan di akhirat.

13. Saya percaya insan atau anggota masyarakat beginilah yang mampu mendepani zaman dan mencabar arus globalisasi lantaran penampilannya penuh berakhlak mulia dan sentiasa mencari keredhaan Allah..

14. Dalam konteks ini, kita bersyukur kerana dikurniakan negeri dan negara yang aman dan makmur, Dengan keamanan ini pelaksanaan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam usaha mendepani cabaran globalisasi, kerajaan negeri dalam kepemimpinan Pakatan Rakyat kini berusaha menjadikan Selangor “Hub Pendidikan”, iaitu menjadi pusat pendidikan dalam negeri, negara, rantau dan antarabangsa.

15. Dalam hal ini, saya ingin melihat sistem pendidikan Islam di negeri ini menjadi model bagi memenuhi cita-cita ini. Saya yakin sistem pendidikan kita merupakan antara yang terbaik dan boleh dikongsi bersama. Peluang pendidikan lebih terbuka dan penglibatan lebih besar.

16. Dengan yang demikian, peluang membangunkan umat berilmu dan menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan bagi manfaat rakyat Selangor, dapat direalisasikan dengan sewajarnya.

Para Guru yang Budiman,

17. Sesungguhnya, peranan guru amatlah penting, terutamanya dalam usaha mendidik murid-murid menjadi sumber modal insan masa hadapan. Guru berperanan memberi dan meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran dalam kalangan murid agar mereka menjadi aset berharga kepada negeri.

18. Guru bertangungjawab membimbing anak-anak didik dengan nilai agama dan budaya Timur agar mereka tidak terjerumus ke kancah yang negatif dan merosakkan identiti bangsa dan agama. Guru berperanan melahirkan anak didik menjadi muslim berakhlak dan berkeperibadian tinggi.

19. Seterusnya, kita percaya para guru mampu berperanan mendidik, membimbing dan mentarbiah murid-murid menjadi pewaris kepemimpinan masa hadapan. Sebenarnya, masyarakat madani yang kita cita-citakan melalui kelahiran insan rabbani berada di tangan guru-guru semua. Sabda Nabi Muhammad, yang bermaksud:

” kalangan orang beriman yang lebih sempurna imannya, pastilah mereka yang amat baik budi pekerti” – Riwayat Tirmizi.

20. Anak-anak didik yang baik budi pekerti tidak mungkin terhasil jikalau guru-guru tidak bersedia menjadi agen perubahan yang amat memahami aspirasi dan matlamat kerajaan negeri. Sebenarnya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, khususnya, memerlukan guru-guru yang memiliki minda kelas pertama dan sentiasa membangun diri menjadi modal insan kamil.

21 Kita ingin melihat kalangan guru yang berpandangan positif dalam era globalisasi dan seiring dengan kemajuan arus perkembangan teknologi. Mereka perlu menjadi perekacipta dan pengguna yang berkualiti. Dengan yang demikian, jelaslah peranan guru begitu penting dalam usaha menentukan arah tuju dan kemajuan nusa dan bangsa.

22. Seterusnya, golongan guru yang merupakan kakitangan kerajaan sewajarnya menjadi agen kerajaan negeri bagi menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat khususnya murid-murid di sekolah. Guru wajar terus memberikan sokongan padu bagi memastikan pelaksanaan dasar-dasar disempurnakan di semua peringkat. Ini bermakna, pelanggan atau pengguna dalam perkhidmatan awam perlu diutamakan.

23. Dalam hal ini, penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan secara telus, jujur dan beretika kerana pelanggan mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada kita. Kita pula perlu komited terhadap penyampaian perkhidmatan yang terbaik, mesra dan memenuhi kepuasan hati pelanggan, di samping mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Awam yang ditetapkan.

24. Antara alat penyampaian yang perlu diberi perhatian, termasuklah dokumen pejabat seperti surat, laporan atau kertas kerja, yang perlu dituliskan dalam bahasa Melayu yang betul, tepat, santun, jelas dan mudah difaham.

25. Justeru itu, guru perlu mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan sikap agar seiring dengan arus perdana pendidikan negara. Sebagai modal insan yang diingini, guru mesti berpenampilan proaktif, dinamik, kreatif, kritis, inovatif dan efisyen.

26. Di samping itu, guru-guru perlu menghargai metodologi pendidikan tradisional dan mempraktis metodologi pendidikan moden. Guru juga perlu mengiktiraf potensi sedia ada dalam kalangan murid dan menjayakan konsep pemusatan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran.

27. Sehubungan ini, kita menyedari betapa Sistem Pendidikan Islam di negeri Selangor mendapat sokongan dan sambutan masyarakat Islam. Dengan sebab itu, kita memerlukan guru-guru yang tinggi sahsiah dan berwibawa bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar kelas.

28. Usaha mempertingkat profesionalisme keguruan pula wajar dilakukan secara berterusan dan konsisten. Penerapan nilai murni, iaitu 17 item sebagaimana terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988, dengan konsep Islam syumul, sebagai teras wajar menjadi rujukan bagi membangunkan sahsiah guru. Kerajaan negeri pasti sentiasa memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan usaha murni ini.

Guru-Guru yang Dirahmati Allah,

29. Sejak belakangan ini kita sering dikejutkan dengan isu gejala sosial yang menular dalam kalangan murid sekolah seperti gangsterisme, buli, ponteng sekolah, cinta remaja dan vandalisme. Terdapat banyak faktor yang menjadikan anak-anak didik berkeadaan demikian. Sebahagian mereka mungkin keliru dalam hal menerapkan nilai ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan realiti kehidupan seharian.

30. Pengaruh media cetak dan media elektronik, kebobrokan rumah tangga, dan keadaan jiran yang semakin menjauh, turut mempengaruhi anak-anak didik semakin liar atau terjebak dalam aktiviti merempit atau melakukan pelbagai jenayah.

31. Namun begitu, kita tidak sepatutnya menuding jari mencari punca salah siapakah ini. Kita perlu terbuka dan ikhlas bagi menangani isu ini. Saya menyarankan agar guru-guru meresapi anak-anak didik dengan nilai-nilai agama dan budaya Timur. Bimbinglah murid-murid dengan kefahaman akidah yang benar dan sah. Didiklah mereka dengan kefahaman Islam yang disesuaikan dengan contoh-contoh atau keadaan semasa.

32. Gunakan pendekatan dakwah yang berhemah semasa menasihati murid-murid yang bermasalah. Dalam hal ini, perkhidmatan kaunseling di sekolah perlu diperkasakan. Guru perlu memainkan peranan lebih aktif dan jujur dalam usaha membantu mencari punca masalah dan mengenalpasti penyelesaiannya. Ini demikian, kerana guru amat memahami perkembangan dan permasalahan murid-murid di sekolah. Namun begitu, guru janganlah bersikap ibarat “harapkan pagar, pagar makan padi”. Guru-guru tentu faham, apa yang saya maksudkan…

33. Sebagai guru, buktikanlah yang tuan-tuan dan puan-puan merupakan modal insan terpilih. Guru-guru dilatih bagi membangun insan dan membentuk sahsiah mulia murid-murid kita. Usaha membina sahsiah ini wajar berterusan selagi mereka berada di sekolah. Mereka merupakan pelanggan utama dalam perkhidmatan pendidikan.

34. Saya percaya melalui guru yang baik dan kreatif, kurikulum yang kemas kini, dan sistem pengurusan yang produktif, mampu melahirkan kumpulan modal insan berkualiti.

35. Dalam masa yang sama pihak kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak meminggirkan kebajikan guru. Kita sedar betapa jasa dan pengorbanan para guru perlu dihargai. Pelbagai insentif dan skim baharu perkhidmatan turut diberikan dari semasa ke semasa. Malah sebahagian insentif dan skim baharu yang diperkenalkan itu hanya dinikmati oleh para guru.

36. Semua insentif dan ganjaran tersebut merupakan tanda pengiktirafan dan “Terima Kasih” kerajaan terhadap jasa dan sumbangan guru-guru selama ini.

37. Selaku Menteri Besar Selangor, saya mengharapkan dengan bilangan perjawatan yang semakin bertambah dan peluang kenaikan pangkat guru-guru dalam perkhidmatan pendidikan, dijangka membangkitkan semangat bekerja yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di negeri Selangor khususnya.

38. Kerajaan negeri sedia memberikan sokongan sepenuhnya bagi menjayakan visi dan misi pendidikan Islam. Kita percaya inilah benteng terpenting dalam membina jati diri murid-murid Islam ke arah melahirkan remaja yang berakhlak mulia dan pewaris modal insan masa hadapan.

39. Pada kesempatan ini, saya suka menyarankan agar anak-anak kita, terutama yang belajar di sekolah aliran kebangsaan, diajar menguasai tulisan jawi. Pada zaman saya masih bersekolah rendah dan menengah, tulisan jawi merupakan pelajaran yang menjadi komponen wajib dalam pelajaran subjek Bahasa Melayu.

40. Malah tulisan jawi menjadi subjek tersendiri dalam beberapa sekolah aliran kebangsaan. Oleh sebab itu, generasi yang berusia 50-an dan 60-an, seperti saya dan sebahagian hadirin di dalam majlis ini, boleh menulis dan membaca jawi dengan lancar.

41. Sedih sekali, kerana kemahiran menulis dan membaca jawi, nampaknya semakin pupus dalam sistem pendidikan di negara kita pada tahun 1970-an hingga sekarang, iaitu apabila hasilnya banyak orang di Malaysia kini yang tidak tahu menulis jawi. Jauh sekali membaca jawi.

42. Sebab itulah surat khabar jawi, iaitu akhbar Utusan Zaman turut terkubur, manakala terbitan berciri keagamaan yang sepatutnya diterbitkan dalam huruf jawi, terpaksa diterbitkan dalam huruf rumi kerana masalah pembaca yang tidak gemar atau tidak tahu membaca jawi.. Dalam hal ini, kita terfikir, bagaimanakah anak-anak muda kita belajar membaca al-Quran jika tidak mahir tulisan jawi?

43. Saya serahkan hal mengembalikan minat dan memuliakan tulisan jawi dalam kalangan orang Melayu khususnya, kepada hadirin yang bijak pandai. Atau, kalangan pakar tulisan jawi ini boleh berbincang dengan Yang Berhormat Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali atau dengan Yang Berhormat Dr. Halimah binti Ali, bagi mencari cara terbaik memartabatkan kembali tulisan jawi ke tempatnya sebagai tulisan yang digunakan bagi merakam kalam Allah, iaitu kitab suci al-Quran.

44. Saya berharap sambutan Hari Guru bakal diteruskan di pelbagai peringkat sebagai bukti penghargaan kita kepada golongan mulia lagi yang berjasa ini. Tahniah kepada guru-guru yang dipilih menerima anugerah sempena sambutan hari guru pada tahun 2008. Pengiktirafan ini sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini.

45. Bagi saya, tuan-tuan dan puan-puan yang menceburi bidang perguruan merupakan model modal insan yang wajar dicontohi. Akhir kata , semoga khidmat bakti para guru diberkati dan diberi pembalasan seadil-adilnya daripada Allah SWT. Tidak ada perkataan yang lebih wajar dan bermakna untuk diucapkan selain ucapan ikhlas daripada saya , “Selamat Hari Guru” dan “Terima Kasih Cik Gu”.

MELUKAH KELI DAPAT SEMBILANG
TESEPAK KERANG TERPIJAK TIRAM
GURU CEMERLANG MURID TERBILANG
RAKYAT SEJAHTERA NEGERI TENTERAM

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalam Mualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.
Salam mesra daripada:

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR





Selangor Baharu 22 Jun

21 05 2008

Selangor Baharu 22 Jun
Dilulus terbit pada Wednesday, May 21 @ 09:35:39 MYT oleh SongkokPutih
Artikel Oleh Dr. Sulaiman Masri

 Tidak dinafikan, banyak pihak, terutama media cetak dan elektronik milik Barisan Nasional, terus memperkatakan gaya dan keberkesanan pentadbiran@ pengurusan Negeri Selangor sekarang.

Sesungguhnya, tahap kecekapan dan keberkesanan, mahupun kegagalan kepemimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, yang diterajui YAB Tan Sri Dto’ Abdul Khalid bin Ibrahim, sesuai diperhati, dinilai dan diulas dengan adil dalam tempoh berikut:

– 100 hari mulai 10 Mac 2008 (pada 21 Jun 2008)
– 365 hari pada 12 Mac 2009
– dua tahun pada 13 Mac 2010
– tiga tahun setengah pada Julai 2011

Dalam tempoh tersebut, adakah manifesto dalam PRU-12 ditunaikan? Adakah pentadbiran dan pengurusan negeri berjalan dengan lebih cekap… lebih adil…lebih terbuka; hasil negeri menjadi lebih; pelaburan asing makin banyak?

Adakah pembahagian kekayaaan semakin merata; rakyat semakin sejahtera; kadar pengangguran hampir sifar; pengaruh Umno makin lenyap? Atau, sebaliknya?

Negeri Selangor, berkeluasan lebih 791 ribu hektar, berpenduduk lebih lima juta orang, menurut anggaran 2008, meliputi sembilan daerah pentabiran.

Dua daerah “terkaya” dan dikuasai PR, berpenduduk lebih sejuta orang, iaitu Petaling (keluasan 48,432 hektar; 1, 452.900 orang), dan Hulu Langat (keluasan 82,620; 1, 060.200 orang).

Sebaliknya, daerah Sabak Bernam yang kaya dengan sumber pertanian, berkeluasan 99,714 hektar, berpenduduk kurang 140 ribu orang, kini masih dikuasai Umno/BN. Insya-Allah, dalam PRU-13, dikuasai PR.

Pentadbiran Negeri yang diterajui Tan Sri Khalid, berpusat di Tingkat 21 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz@Bangunan SUK, Shah Alam.

Pentadbiran Tan Sri Khalid dikritik, dirisik dan dikomen terang-terangan, malah dicemburui oleh mantan MB, Dr. Mohd Khir Toyo dan konco@geng Umno, sejurus selepas Tan Sri Khalid menerima watikah jawatan Dato’ Menteri Besar (MB) Selangor daripada DYMM Sultan pada 13 Mac 2008.

Kalangan pengundi, penyokong Pakatan Rakyat, dan rakyat pendukung PKR, khususnya, pula mahu melihat perubahan yang dijanjikan semasa kempen PRU-12.

Menurut Haji Mohd Yahya Sahri, pegawai khas Tan Sri Khalid, lebih 20 item dalam manifesto PR bakal dinikmati rakyat Selangor, menjelang 2012. Yakni, secara berperingkat!

Menurut Tan Sri Khalid selaku MB, mulai Jun ini, rakyat Selangor mendapat air bersih percuma bagi kegunaan sehingga 20 meter padu setiap bulan, bersamaan RM11.40.

Para pelajar yang mendapat tempat belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta, bakal menerima bantuan khas sehingga RM1000.

“Bagaimana pula dengan pertukaran ketua-ketua jabatan dan bo-bos syarikat milik kerajaan negeri, yang “diragui” tindak tanduk mereka, atau kini masih “memihak” kepada Dr. Khir Toyo dan geng Umno?” Tanya penyokong, petugas, pemerhati @peminat PR.

Dr. Khir Toyo menerusi blog sendiri, dan Senator Tan Sri Muhamad Taib, menerusi media arus perdana, terus berusaha meneropong, mengkritik dan ‘mengambil berat’ terhadap pentadbiran negeri Selangor yang diterajui Tan Sri Khalid@PKR.

“Bila lagi Tan Sri Khalid nak bertindak, tukar itu, ubah ini, buat itu…Mengapa lambat sangat?” Tanya penyokong, petugas, pemerhati@peminat PR.

Mungkin selepas 100 hari pertama. Tunggu tarikh 22 Jun 2008. Era Selangor baharu, mesti dimulakan. Kita yakin, Tan Sri Khalid (dan barisan kepemimpinan PR) tentu sudah sedia dengan senarai pelan tindakan konkrit yang bakal direalisasikan mulai tarikh tersebut.

“Kita harap ketua-ketua jabatan atau bos-bos syarikat milik kerajaan negeri, yang berasa diri mereka bakal “diganti” selepas 100 hari PR mentadbir Selangor, segeralah undur secara terhormat, atau ‘dihapuskan'”. Tegas kumpulan ‘advocat’ PKR.

“Tan Sri Khalid dan barisan kepemimpinan PR Selangor, pasti sudah menyediakan sejumlah pakar dan korporat yang lebih profesional, berpengalaman, tidak rasuah, berjiwa rakyat, jujur, amanah, dan tekun bekerja, yakni lebih hebat daripada tinggalan MB Selangor terdahulu.

Selepas tiga tahun pentadbiran, mulai Mac 2011, kita menggempur bagi kemenangan PKR, PAS, DAP dalam PRU-13….

Sesungguhnya, kejayaan mengekalkan kemenangan dalam PRU-13 (pada 2013?), tentunya banyak bergantung pada empat tahap kejayaan pentadbiran dan pengurusan barisan kepemimpinan PR di Selangor Darul Ehsan.

Mari terus berusaha dan berdoa. Kerajaan PR di Selangor yang diterajui YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim “mampu melakukan perubahan”. Amin.